Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA ayat kursi BERJAYA MENCAPAI 91 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH MUSLIM

51  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1426.
Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: "Pada suatu ketika Abu Bakar minta izin hendak masuk ke rumah Nabi saw. Didapatinya di depan pintu telah banyak orang duduk, tetapi tidak seorang jua pun yang diizinkan beliau masuk, kecuali bagi Abu Bakar dan 'Umar. Didapatinya Nabi saw. sedang duduk dikelilingi para isteri beliau dalam keadaan diam kerana marah. Kata Abu Bakar, "Aku sengaja mengatakan sesuatu untuk memancing ketawa beliau. Kata ku, "Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda, isteri ku Binti Kharijah minta belanja kepada ku, lalu ku tampar dia." Rasulullah tertawa mendengarnya dan berkata, "Inilah mereka mengelilingi ku minta wang belanja." Maka berdiri Abu Bakar mendatangi 'Aisyah, lalu dipukulnya tengkuk 'Aisyah. Begitu pula 'Umar, dia berdiri lalu dipukulnya pula tengkuk Hafshah, sambil kedua-duanya berkata: "Berani-beranian kamu meminta sesuatu yang tidak dipunyai Rasulullah." Jawab mereka, "Demi Allah! Kami tidak pernah meminta kepada Rasulullah saw. apa yang tidak ada pada beliau." Sesudah kejadian itu Rasulullah saw. mengasingkan diri dari para isteri beliau sebulan lamanya. Sesudah itu turun ayat: "Wahai, Nabi! Katakanlah kepada para isterimu...dst." (Al Ahzab: 28 - 29). Kata Jabir, Rasulullah saw. memulai pertanyaannya dengan 'Aisyah. Sabda beliau, "Aku hendak mengatakan sesuatu yang penting kepada mu, kerana itu aku lebih suka engkau jangan terbur u-buru menjawabnya sebelum engkau musyawarahkan dengan kedua orang tua mu." Tanya 'Aisyah, "Masalah apa itu, ya Rasulullah?" Lalu beliau bacakan ayat tersebut di atas (surah Al Ahzab : 28 - 29). Tanya 'Aisyah, "Apakah mengenai masalah rumah tangga Anda aku harus musyawarah juga dengan kedua orang tua ku? Sudah tentu aku memilih Allah dan RasulNya serta hari akhirat. Ku mohon kepada anda supaya tidak mengkhabarkan putusan ku ini kepada para isteri anda yang lain." Jawab beliau, "Tidak satu pun yang ditanyakan mereka kepada ku, yang tidak ku jawab. Sesungguhnya Allah mengutus ku, bukanlah untuk mencari-cari kesulitan, tetapi Allah mengutus ku untuk mengajar dan memudahkan. "

52  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1739.
Dari 'Umar bin Khaththab r.a., katanya: "Pada hari terjadinya perang Badar, Rasulullah saw. melihat kaum musyrikin, semuanya berjumlah seribu orang, sedangkan para sahabat beliau hanya berjumlah tiga ratus sembilan belas orang. Nabi saw. menghadap ke kiblat, kemudian beliau tadahkan kedua tangannya ke langit lalu beliau mendoa kepada Tuhannya, "Allahumma anjiz li ma wa'adtani; Allahumma aati ma wa'adtani; Allahumma ir tuhlika hadzihil 'ishabata min ahlil Islam, la tu'bad fil ardhi." Demikianlah, beliau sentiasa mendoa kepada Tuhannya, mengangkat kedua tangannya sambil menghadap ke kiblat, sehingga selendang beliau terlepas dari bahunya. Abu Bakar mendatangi Nabi saw., lalu diambilnya selendang beliau dan diletakkannya kembali ke bahu beliau, kemudian dia sentiasa berada di belakang beliau. Kata Abu Bakar, "Ya, Nabiyallah! Cukuplah kiranya Anda munajat dengan Allah, kerana Dia pasti akan menepati janjiNya kepada Anda. Lalu Allah menurunkan ayat: "Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan mu, lalu diperkenankan-Nya bagi mu, sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada mu, seribu malaikat yang datang beriring-iring." (Al Anfal, 8:9). Jadi Allah membantu Nabi saw. dengan seribu orang pasukan malaikat. Kata Abu Zumail, Ibnu Aboas mengabarkan kepadanya bahawa pada hari itu, ketika seorang tentera Islam mengejar tentera musyrikin yang berada di hadapannya, tiba-tiba terdengar olehnya bunyi suara cambuk di atas (kepala si musyrik) dan suara seorang penunggang kuda berkata, " Ayuh, maju Haizum!" Tiba-tiba dilihatnya musyrik yang berada di hadapannya telah jatuh, tewas tertelentang dengan hidungnya bengkak, mukanya terbelah seperti bekas pukulan cambuk, dan seluruh tubuhnya menghijau. Tentera muslim Ansar itu datang melaporkan peristiwa itu kepada Nabi saw. Kata beliau, "Ceritamu itu benar belaka. Itu adalah pertolongan Allah dari langit ketiga." Pada hari itu tentera muslim dapat menewaskan tujuh puluh orang tentera musyrikin, dan menawan mereka tujuh puluh orang. Kata Abu Zumail selanjutnya, Ibnu 'Abbas mengatakan, bahawa tatkala tawanan telah mereka tahan, Rasulullah saw. bertanya kepada Abu Bakar dan 'Umar, "Bagaimana pendapat kalian mengenai para tawanan ini?" Jawab Abu Bakar, "Ya, Nabiyallah! Mereka itu adalah anak-anak pakcik dan keluarga kita. Aku berpendapat sebaiknya kita pungut tebusan dari mereka. Dengan begitu kita akan bertambah kuat atas orang-orang kafir, semoga Allah menunjuki mereka untuk masuk Islam." Kemudian Rasulullah bertanya pula kepada 'Umar, "Bagaimana pendapatmu, hari Ibnu Khaththab?" Jawab ku, "Tidak! Demi Allah, ya Rasulullah, aku tidak setuju dengan pendapat Abu Bakar. Aku berpendapat, supaya Anda memberi kesempatan kepada kami untuk memenggal leher mereka. Berilah kesempatan kepada 'Ali untuk memenggal leher si 'Uqail, berilah kesempatan kepada ku untuk memenggal leher siFulan (maksudnya keluarga 'Umar sendiri). Kerana mereka ini adalah para pemimpin kaum kafir dan pembesar-pembesar mereka. Rasulullah menyetujui pendapat Abu Bakar, tidak menyetujui pendapatku. Esok aku datang menemui Rasulullah saw. Aku dapati beliau sedang duduk menangis berdua dengan Abu Bakar. Lalu kataku, "Ceritakanlah kepada ku, apa sebabnya Anda berdua menangis. Jika aku merasa terharu aku akan turut menangis. Jika aku tidak terharu, aku akan menangis juga kerana tangis Anda berdua:" jawab Rasulullah saW., "Aku menangis, kerana tebusan yang dipungut sahabatmu terhadap para tawanan itu, terasa bagi ku lebih murah daripada harga kayu ini (sambil beliau menunjukkan sebuah kayu di dekat beliau). Lalu Allah menurunkan ayat: "Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum dia melumpuhkan musuhnya di muka bumi hingga firman-Nya maka makanlah olehmu sebahagian harta rampasan " (Al Anfal, 8:67-69). Kerana itu Allah Ta'ala menghalalkan harta rampasan bagi mereka."

53  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1591.
Dari Al Bara' bin 'Azib r.a., katanya: "Ayat yang terakhir sekali turun, ialah ayat kalalah, dan surah yang terakhir sekali turun ialah surah Baraah."

54  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0165.
Dari Ibnu 'Abbas r.a.., katanya: "Ketika diturunkan Allah ayat: 'Wa andzir 'asyiratakal aqrabin' (Dan berilah peringatan keluargamu yang terdekat), maka Rasulullah saw. naik ke puncak bukit Shafa, lalu di sana beliau berteriak, "Hai, kemarilah segera!" Kata mereka, "Siapa yang berteriak memanggil-manggil itu?" Jawab mereka, "Muhammad!" Lalu mereka berkumpul ke dekatnya. Setelah mereka berkumpul di dekat Nabi saw., beliau berpidato: "Hai, Bani Fulan! Hai, Bani Fulan! Hai, Bani Fulan! Hai, Bani 'Abdu Manaf! Hai, Bani Abdul Muththalib! Bagaimana pendapat anda semua, kalau aku memberitahukan pada anda semua sekarang ini, bahawa seekor kuda bakal muncul dari kaki bukit itu. Apakah anda semua percaya atau tidak?" Jawab mereka, "Setahu kami, anda tidak pernah dusta!" Sabda Nabi saw., "Maka sekarang aku hendak mengingatkan anda semua, bahawa di hadapan kita menunggu seksa-derita yang amat dahsyat." Kata AbuLahab, "Biar celaka kamu, hai Muhammad! Apakah untuk ini kamu mengumpulkan kami?" Sesudah itu dia pergi. Lalu turun ayat Al Lahab: "Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa. Tidaklah berfaedah kepadanya harta-bendanya dan apa yang ia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak. Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar. Yang di lehernya ada tali dari sabut." (Lahab : 1 - 5)

55  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0317.
Dari Syaqiq r.a., katanya: "Aku duduk bersama-sama dengan 'Abdullah dan Abu Musa. Maka berkata Abu Musa, "Hai, Abu 'Abdurrahman! Bagaimana pendapat Anda jika seorang lelaki junub, tetapi dia tidak mendapat air selama sebulan, bagaimana dia solat?" Jawab 'Abdullah, "Dia tidak boleh tayammum, walaupun sebulan lamanya:' Kata Abu Musa, "Nah, bagaimana dengan ayat 'falam tajiduu maa-an fatayammamuu sha'idan thayyibaa' (Al Maidah :6). (lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan tanah yang bersih..". Jawab 'Abdullah, "Jikalau mereka dibolehkan memakai ayat ini, dikhuatirkan mereka pada musim dingin aku selalu tayammum dengan tanah." Kata Abu Musa, "Apakah Anda belum mendengar cerita 'Ammar?" Katanya begini, "Aku diutus Rasulullah saw. untuk suatu urusan. Dalam perjalanan aku junub, tetapi aku tidak mendapatkan air. Kerana itu aku berguling-guling di tanah seperti haiwan. Kemudian, setelah aku bertemu dengan Nabi saw., kuceritakan kepada beliau peristiwa yang ku alami itu." Sabda beliau, "Sesungguhnya sudah cukup kalau engkau melakukan seperti ini. Lalu beliau memukulkan kedua tapak tangannya ke tanah satu kali, sesudah itu disapukannya tangannya yang kiri ke tangan kanan, ke punggung tangan dan mukanya," Kata 'Abdullah, "Tidak tahukah anda, 'Umar tidak menanggapi (meragukan) cerita 'Ammar itu?"

56  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0699.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Dalam rakaat pertama sunat fajar, Rasulullah saw. pernah membaca ayat : "Qulu amanna billahi wa ma unzila ilaina (Al Baqarah: 136) dan pada rakaat kedua, ayat: ta'alau ila kalimatin sawain bainana wa bainakum "(Al 'Imran : 64)

57  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0111.
Dari Ibnu Mas'ud r.a., katanya: "Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda: "Siapa yang bersumpah dengan sumpah palsu untuk menguasai harta orang lain, kemudian dia mati dalam sumpahnya itu, maka dia itu mati dalam murka Allah." Kata Abdullah, "Kemudian Rasulullah saw. membacakan kepada kami ayat Quran untuk memperkuat sabda beliau itu: "Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan Sumpah mereka dengan harga murah, orang-orang itu tidak mendapat bagian di akhirat; dan Allah tidak akan bertutur kata dengan mereka, tidak melihat kepada mereka dan tidak membersihkan mereka dari dosa, sedangkan mereka mendapat seksa yang pedih." (Ali 'Imran : 77)

58  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2280.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: "Orang-orang musyrik Quraisy datang kepada Nabi saw. memprotes beliau mempunyai masalah Qadar." Maka turun ayat: (Ingatlah) pada hari mereka diseret ke neraka di atas muka mereka, (dikatakan kepada mereka): "Rasakanlah sentuhan api neraka." Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu dengan ukuran." (Al Qamar 54:48 49).

59  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1422.
Dari Ibnu 'Abbas r.a., katanya: "Apabila seorang suami mengharamkan (persenggamaan dengan) isterinya, maka hal itu merupakan sumpah yang harus dibayar dendanya. Kemudian dia membaca ayat: "Sesungguhnya Rasulullah saw. itu adalah ikutan yang baik bagimu."(Al Ahzab : 21).

60  
Hadis Sahih Muslim Jilid 3. Hadis Nombor 1226.
Dari 'Urwah bin Zubair r.a., katanya dia berujar kepada 'Aisyah r.a., isteri Rasulullah saw., "Aku berpendapat, tidaklah membatalkan jika seseorang tidak saai antara Safa dan Marwa. Dan aku sendiri tidak peduli untuk tidak saai antara keduanya. Jawab 'Aisyah r.a., "Pendirianmu itu salah, hai anak saudara perempuanku! Rasulullah saw. dan kaum muslimin semuanya saai antara Shafa dan Marwa. Dan yang demikian itu adalah sunnah. Dahulu, para penyembah berhala Manat yang berada di Mutsailal, mereka memang tidak saai antara Safa dan Marwa. Maka ketika Islam datang, hal itu kami tanyakan pada Nabi saw. Lalu Allah 'Azza wa Jalla menurunkan ayat : "Sesungguhnya Safa dan Marwah termasuk lambang-lambang kebesaran agama Allah. Maka siapa yang haji ke Bait, atau umrah tidaklah berdosa mereka saai antara keduanya. (Al Baqarah : 158)